Tuesday, July 19, 2011

harumnya setia

Sayidina Abu Bakar (r.a) dan kisah-kisahnya yang begitu menyayat hati. Hayatilah bagaimana beliau membela, melindungi, mencintai Rasulullah (SAW) dalam senang dan duka. Bagaimana beliau membela Rasulullah (SAW) ketika baginda sedang beribadat di Kaabah dan dikerumuni oleh kaum Quraisy yang berniat jahat - beliau rela di pukul sehingga tidak dihiraukan tubuhnya yang bagai nyawa-nyawa ikan asalkan Rasulullah (SAW) selamat.



Beliau lahir dua tahun beberapa bulan setelah kelahiran Rasulullah (SAW) di kota Mekkah. Atau pada tahun 51 sebelum Hijriah (751 M). Nama lengkapnya Abdullah bin Utsman bin ‘Amir bin Ka’ab at-Taimy al-Qursy. Dulunya bernama Abdul Ka’bah, kemudian Rasulullah menggantinya dengan nama Abdullah. Gelarnya As-Siddiq; orang percaya. Ketika terjadi peristiwa Isra’ dan Mikraj, beliaulah termasuk orang pertama yang percaya dengan peristiwa itu. Maka beliau digelari as-Siddiq. Nama panggilannya Abu Bakar. Ibunya bernama Ummul Khoir Salma binti Shahr bin ‘Amir.



Ketika beliau wafat, Ali bin Abi Talib berkata; “Semoga Allah memberikan rahmat kepada Abu Bakar. Kamu adalah saudara Rasulullah, kawan dekat, penghibur duka lara, dan kawan dalam bermusyawarah. Kamu adalah orang pertama yang masuk Islam, yang paling ikhlas beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, yang paling baik dalam persahabatan dan paling mulia diantara kaum lainnya. Kamu juga yang paling serupa dengan Rasulullah ketika diam dan gerak. Allah telah angkat darjat namamu, wahai Abu Bakar dalam tingkatan yang paling tinggi. Allah berfirman; “Dan orang yang percaya dengan kenabian Muhammad."



Abu Bakar begitu istimewa. Beliau adalah sebaik-baik calon sahabat idaman. Apabila menyentuh tentang konsep persahabatan, Nabi tetap mengatakan "Jika aku mahu mengambil seorang sahabat baik, nescaya aku memilih Abu Bakar di tempat itu." Padahal, Abu Bakarlah antara manusia yang paling rapat dengan Nabi di sepanjang perjuangan Baginda menyebarkan dakwah Islam yang penuh dengan ranjau dan duri. Apa yang boleh dikatakan di sini, sesungguhnya seorang sahabat sejati itu sangat sukar dicari.



Sidi Ahmad al-Zarruq di dalam wasiatnya menasihatkan supaya mencari seorang teman baik bagi menolong kita di dalam urusan-urusan duniawi dan akhirat. Dan dalam masa yang sama juga, beliau memberikan amaran bahawa sahabat baik yang benar-benar berada di sisi kita dalam keadaan susah dan senang adalah amat sukar dicari (jangan lupa bahawa Sidi Ahmad al-Zarruq hidup pada 846-899 Hijrah, iaitu lingkungan tahun 1400-an. Di zaman itu pun susah untuk mencari sahabat baik, maka apatah lagi di zaman 2000-an yang semakin materalistik ini).



Ada orang yang suka bermegah-megah dengan ramainya kawan yang mereka ada. Tapi betulkah kawan yang mereka ada itu benar-benar seorang kawan? Ketahuilah bahawa anda sebenarnya tidak memiliki ramai kawan. Oleh itu jika anda memiliki seorang kawan baik, anda sebenarnya terdiri dari golongan yang sangat bertuah di dunia. Dan jika anda ada dua orang kawan baik, buatlah sujud syukur banyak-banyak kepada Allah.



Sahabat yang baik patut menjadi cermin kepada diri kita. Di dalam Sahih Bukhari, terdapat satu hadith yang sering dipetik oleh umat Islam, iaitu "Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin yang lain." Tanya diri kita, apa tujuan kita melihat cermin?



Marilah kita sama-sama berusaha menjadi sahabat yang sejati dan sesetia Abu Bakar (r.a.). Semoga kita semua semakin dewasa di dalam iman, amal dan taqwa kepada Allah. Dan moga-moga kita bertemu dengan ramai sahabat sejati yang dapat membantu kita dalam perjuangan di bumi Allah yang fana ini. Amin Ya Rabbal 'Alamin!

No comments: