Monday, July 4, 2011

kisah tauladan hayatilah bersama renungkanlah seketika ai ku baca mcm terharu

SSSSYYYYYY… tengok tu, tangan-nya berdarah!" salah seorang jemaah lelaki yang menyertai rombongan saya ke Mekah baru-baru ini bersuara tatkala melihat salah seorang jemaah mengalami sakit kulit.

Mendengar kata-kata itu, yang lain 40 jemaah kesemuanya berbalas-balas pandang sesama sendiri. Saya lihat ada yang mengerut dahi, ada yang tersenyum sinis dan pelbagai reaksi, terutama ketika jemaah terbabit tergaru-garu.

Hari pertama di Mekah memang saya dah nampak lelaki pertengahan usia ini, lain macam. Asyik tergaru-garu bagai kera kena belacan. Saya cuma memerhati saja, segan nak bertanya! Masuk hari ketiga, keadaannya semakin teruk.

Kruk… kruk… kruk… dia menggaru-garu tangannya, sekejap kiri dan kemudian kanan. Saya menunggu-nunggu ruang untuk bertanya, tapi tak ada kesempatan.

"Kenapa kau ni, apa kau makan, gatal-gatal macam ni?" terdengar suara seorang jemaah bertanya.

"Tak tahulah bang! Garu sikit, berdarah… garu sikit berdarah, kulit saya ni sensitif sangat," balas pemuda itu, Khairul namanya.
Semakin lama keadaan gatal kulitnya semakin parah. Ihramnya juga terkena darah. Saya lihat para jemaah semakin menjauhinya. Ada yang mengadu kepada saya mengatakan, gatal-gatal pada jemaah itu berbau hanyir, busuk dan kurang menyenangkan. Akhirnya, saya dekati dia, hajat mahu memberikan pertolongan.

"Eh Khairul… saya nampak gatal-ga tal awak ni semakin serius. Baik kita ke klinik!" saya menawarkan diri membawanya ke klinik berdekatan. Dia mengelak lagi. Katanya dia cuma gatal-gatal sikit akibat salah makan.

"Sikit apa, berdarah dan berair pula, Jangan diamkan Khairul, baik kita ke klinik sekarang," pelawa saya semula.

Dia masih berdegil. Sejak itu saya lihat dia mengelak bertemu saya. Memang saya agak berkecil hari dengan sikapnya itu, pertolongan saya ditolaknya mentah-mentah. Ikutkan perasaan, memang saya boleh buat tak kisah, tapi atas rasa tanggungjawab sebagai ketua rombongan saya tiada pilihan.

Suatu malam, ketika di dewan makan, saya perhatikan gelagat Khairul yang tergaru-garu. Sekejap tangan kanan menggaru, sekejap tangan kiri.
Salah seorang jemaah yang paling veteran, Pak Hashim tiba-tiba menegurnya semasa dia beratur mengambil makanan.

"Kau ni… nak dibawa ke klinik tak mahu. Mana boleh dekat dengan orang, nanti jangkit," kata Pak cik Hashim.
Khairul hanya berdiam diri. Mungkin tak menyangka dirinya diperlakukan begitu, Dahlah dia tinggal seorang diri dalam bilik semenjak penyakitnya merebak selepas rakan sebiliknya mohon berpindah.

Hati saya seperti meronta-ronta untuk mengetahui tentang penyakit yang dihidapi Khairul. Kenapa dia tak mahu ke klinik dan sebagainya.
Selesai menunaikan solat Maghrib keesokan malamnya, saya mengetuk pintu bilik Khairul.

"Boleh abang tanya sikit? Abang harap kau tak marah," saya memulakan bicara sebaik membetulkan duduk di biliknya.

"Abang tak takut ke dengan penyakit saya ni? Semua orang seperti menyisihkan saya," Khairul tiba-tiba meluahkan perasaannya.

‘Abang bukan apa, sebagai ketua abang rasa bertanggungjawab membantu Khairul," saya cuba menenangkan keadaan.

"Tak apalah bang. Terima kasih aja. Boleh tak abang tinggalkan saya sorang-sorang. Saya tak nak diganggu, saya harap abang faham," ucapnya membuatkan saya sedikit jelek.

"Kalau macam tu okeylah, tapi kalau Khairul dah sedia nak bercerita dengan abang, datanglah jumpa abang pada bila-bila masa," saya masih tak putus asa nak membantu Khairul.

Dua minggu berlalu… para jemaah membuat persiapan akhir sebelum pulang ke tanah air. Khairul masih tidak menemui saya: "Tak apalah…" bisik saya dalam hati.
Entah macam mana, secara kebetulan dalam penerbangan Khairul duduk sebelah saya. Saya tengok kesihatannya semakin buruk. Dia mengalami pula batuk-batuk.
"Kuh… kuh… kuh… kuh…" Khairul menekup mulutnya. Tiba-tiba saya nampak darah berwarna hitam pekat memenuhi kedua-dua tapak tangannya.
Sambil saya tenangkan Khairul, dia berbisik di telinga kanan saya. "Abang… saya sedar saya akan dicemuh masyarakat, tapi niat saya ikhlas. Saya nak tebus dosa silam saya."

Kuh… kuh… kuh… kuh… batuk Khairul semakin kuat. Tersekat-sekat dia meneruskan ceritanya.

"Pekerjaan saya sebagai kelasi mendorong saya menjadi seorang yang bebas… bebas segala-galanya. Ke mana kapal saya mendarat di situlah syurga saya. Saya melanggan pelacur di mana saja ada peluang. Tapi kini saya insaf.

"Tapi… saya dah bertaubat bang!" ucapnya terketar-ketar sambil menangis sebak. "Saya disahkan menghidap AIDS kerana itulah saya jadi begini. Saya ke Mekah ni pun nak mohon keampunan-Nya. Saya harap niat saya diterima.

"Emak dan ayah saya dah tak ambil kisah pasal saya lagi sejak saya kena penyakit ni. Adik-beradik saya pun dah tak pedulikan saya lagi. Saya disisihkan, sebab tulah bila saya pasang niat nak pergi Mekah, saya nekad walaupun pergi seorang diri," ucapnya dengan nada sebak.

"Sudahlah tu Khairul… jangan menangis. Apa yang penting sekarang banyakkan berdoa dan memohon keampunan dari Allah s.w.t.," hanya itu yang mampu saya katakan.

Saya suruh dia mengucap dan berselawat berulang-ulang kali, sehinggalah dia terridur. Waktu makan pun dia tidak saya gerakkan. Biarlah dia tidur, bisik saya.
Apabila pesawat selamat mendarat di Kuala Lumpur International Airport (KLIA), saya kejutkan Khairul, tetapi dia masih tak bangun.

"Khairul…! Bangun, kita dah sampai ni!" saya tepuk bahunya.

Khairul tetap kaku tanpa memberikan tindak balas. Saya mula panik melihat keadaan itu. Saya memanggil beberapa orang petugas untuk membantu menyedarkan Khairul semula.

Biarpun beberapa kali kami cuba bangunkannya, akhirnya saya pasrah. Inna lillahi wa inna ilaihi rajiunnnnnn!
Dia telah pergi menyahut panggilan Ilahi buat selama-lamanya.
Saya tahan rasa sebak di dada. Apa pun saya masih bersyukur kerana Allah masih memberi peluang kepada dia bertaubat. Moga-moga roh Khairul tergolong dalam golongan orang-orang yang beriman - Al-Fatihah.

No comments: