Tuesday, July 19, 2011

cerita umur i like thiss aii bnyk jua ku perolehi ni..

Cerita umur
Adalah cerita kesementaraan hidup
Kisah perjalanan usia menghampiri hujungnya
Kisah api kehidupan yang semakin hilang nyalanya

Cerita umur
Adalah cerita kekerdilan insan
Kisah kelalaian bersama seribu keinsafan
Juga kisah syukur bersama sejuta keberkatan

Cerita umur
Adalah cerita umbang ambing kehidupan
Kisah peritnya perjalanan
Juga kisah indahnya kesabaran

Cerita umur
Adalah cerita perjalanan insan
Kisah datang dan pulang
Kisah hidup setelah kematian
Kisah kepulangan kepada Pemilik kehidupan

Cerita umur
Adalah cerita sedih dan penyesalan
di sebalik tabir kematian
Untuk kehidupan yang diabaikan

Cerita umur
Adalah cerita Iman
Untuk insan kembali sedar
Dari mana ia datang
Untuk apa dunia dipinjamkan
Dan kemanakah akhirnya kehidupan.



Hari ini umur isteri saya genap 36 tahun. Masih terngiang-ngiang kata-kata seorang doktor pakar 'Isteri kamu akan buta ketika umurnya 40 tahun'. Namun saya tetap yakin bahawa setiap kebaikan dan kemudharatan itu datangnya dari Allah SWT, manusia cuma meramalkannya berdasarkan pengalaman dan pengamatan.

Kalaupun isteri saya benar-benar buta maka itulah yang 'terbaik' baginya. Bukankah semua ketentuan Allah itu adalah yang terbaik? Bukankah meragui kebijaksanaan, keadilan dan kasih sayang Allah itu adalah tanda cacatnya iman?

Kenapa tiba-tiba saya kongsikan kisah yang agak peribadi ini? Saya cuma ingin memperingatkan diri saya, isteri serta mungkin siapa sahaja yang cerita umurnya tidak banyak bezanya; bahawa segala yang ditentukan Allah itu adalah yang terbaik untuk kita iaitu Allah yang menjadikan kita dan kehidupan, Allah yang menjadikan alam dan mentadbirnya dengan kebijaksanaan, Allah yang mengetahui segala yang kita bisikkan atau zahirkan, Allah yang mengetahui segala keinginan serta kecenderungan jiwa kita serta Allah yang mengetahui apa yang baik dan apa yang buruk bagi kita.

Saya juga ingin memperingatkan diri bahawa buta, sakit, bencana, mati dan sebagainya itu adalah lumrah kehidupan sedangkan kecewa, gagal, putus asa dan harapan itu adalah warnanya. Yang lebih utama ialah bagaimana sikap kita untuk mendepaninya. Kematian itu boleh datang bila-bila masa bahkan mungkin tiba-tiba. Kalau kita tidak ada rekod kesihatan yang buruk, mungkin kita mati kemalangan atau mungkin dipanah petir dan sebagainya. Umur tua bukan tanda kematian sudah hampir dan umur muda juga bukan penentu usia akan berpanjangan. Setiap hari ada yang mati dan ada yang lahir, ada yang menghembus nafas terakhir dan ada yang menghirup kehidupan. Bukankah ada yang mati ketika masih dalam kandungan???

Pernah dan selalu yang bisikkan pada isteri saya "Sakit dan mati itu adalah sebahagian dari warna warni kehidupan. Setiap hari ada yang sakit dan ada pula yang mati. Bukankah sakit itu gambaran kekerdilan insan dan peringatan agar kita kemabali sujud dan akur padaNya. Mukmin perlu pandai 'mencuri'. Ketika hidup dilanda derita dan kesusahan ia mencuri peluang untuk menikmati manisnya doa dan munajat lalu hari-hari yang dilaluinya disibukkan dengan doa dan munajat, mengadu kekerdilan serta kelemahan diri, memohon kekuatan dan pengampunan. Ketika terasa kematian semakin menghampiri ia mencuri peluang untuk meyakini hari kepulangan pada Pemilik kehidupan lalu ia menyibukkan diri dengan istighfar dan taubat serta menginsafi kealpaan diri.Tangisan tidak akan menyembuhkan penyakit, penyesalan juga tidak akan menunda kematian oleh itu ambillah semua itu sebagai pengajaran iman"

No comments: