Tuesday, July 19, 2011

masa terlalu pantas....

Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda; "Tidak akan terjadi qiamat sehingga masa menjadi singkat maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api".(Riwayat Tirmizi)


Inilah hakikat kehidupan di akhir zaman, masa berlalu dengan begitu pantas. Tanggungjawab melebihi masa yang kita ada. Kalau tahun lepas saya terasa begitu sibuk tetapi tahun ini terasa lebih sibuk; masa terasa begitu pantas beredar, belum sempat menarik nafas, hari baru mula menjenguk tiba-tiba.

Masa adalah kehidupan dan kehidupan itu tiada lain dari ujian. Ujian yang akan menguji keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Bagaimana kita memanfaatkan masa yang singkat dan bagaimana kita menghargai masa lapang yang kita masih miliki. Segalanya akan ditanya di Akhirat nanti. Yang terbaik dikalangan kita ialah orang yang menjaga Taqwanya pada Allah SWT, masa yang paling berharga ialah masa yang dimanfaatkan dengan kerja-kerja yang utama (awla) bukan 'banyak kerja'. Allah menguji kita untuk melihat bagaimana kita manfaatkan kehidupa yang singkat ini dengan amal-amal yang berkualiti.

Kegagalan untuk mengukur masa dengan 'Nilai Taqwa' akan menyebabkan kita hilang keseimbangan (tawazun) dalam kehidupan. Tanpa disedari kita menyibukkan diri dalam perkara-perkara yang kurang penting. Bahkan, kadang-kadang kita korbankan tanggungjawab besar demi melaksanakan tanggungjawab yang kecil dan ringan. Kita bertungkus lumus mencari kekayaan untuk membangunkan rumahtangga dan keluarga tetapi akhirnya kita korbankan keluarga 'yang kita kasihi' demi kekayaan dunia dengan segala janji-janji palsunya. Kita 'cari makan' hingga tak sempat nak makan, kita membangun kehidupan hingga akhirnya jiwa kita mati terbiar. Kita membeli hati anak-anak dengan kemewahan tetapi kita menggadai kasih sayang yang sangat mereka inginkan.

Satu sketsa ringkas yang pernah diceritakan oleh Murabbi saya dan saya lihat ketika dia menceritakannya, air mata mengalir melalui pipinya dan saya turut menangis kerana kami saling mengenali kehidupan masing-masing. Saya tidak ingat semuanya tetapi saya akan ceritakan dengan sedikit ubahsuai.

"Seorang kanak-kanak kecil bertemu ayahnya ketika ayahnya nampak begitu sibuk seperti hari-hari biasa. Dikuatkan keazamannya kali ini untuk mengambil peluang bagi meyampaikan desakan hatinya yang dipendamnya selama ini. "Ayah! Boleh along tanya soalan pada ayah?" "tanyalah" jawab ayahnya sambil menyiapkan bahan-bahan ceramahnya....untuk menyampaikan Islam pada masyarakat. "kalau ayah pergi ceramah, biasanya satu jam berapa ringgit orang bayar?" "Kenapa kamu nak tahu" Balas ayahnya dengan nada yang agak terkejut dan terasa seolah-olah soalan itu mencabar keikhlasannya dalam berdakwah. "Tak ada apa-apa, cuma kalau along tahu berapa bayarannya...along boleh jimat cermat..mungkin satu hari nanti along mampu bayar untuk bersama ayah satu jam...ada banyak perkara yang along nak sembang dengan ayah" Kata-kata itu benar-benar mengejutkan siayah, tangannya terpaku keras dan airmata mulai menitis membasahi pipinya. Dia terus bangun lalu memeluk erat anaknya"

Mungkin tidak penting samada kisah itu benar ataupun tidak tetapi itulah corak kehidupan kita...kesibukan memandu perjalanan hidup kita hingga kita kehilangan arah tuju dan kehilangan diri kita. Saya menulis artikel ini sebaik sahaja menolak jemputan seorang sahabat karib bagi mengisi satu slot ceramah. Jemputan itu saya tolak dengan berat hati kerana saya tahu ajakan itu adalah dari hati yang benar-benar rasa bertanggungjawab untuk mengajak manusia kepada Islam. Ketika menulis artikel ini saya benar-benar tak mampu menahan airmata. Semua ini mengingatkan saya pada hari saya mengikuti murabbi yang saya kasihi untuk menyampaikan ceramahnya di sebuah negeri. Dia ceritakan kisah ini sambil menahan tangisan dan saya turut menangis pada masa itu....bukan kerana sayapun ada anak tetapi saya kenal benar kehidupannya yang diwakafkan untuk Islam. Dan ketika saya menulis artikel ini saya menangis lagi tetapi untuk diri saya sendiri.

Keluarga dan anak-anak juga amanah yang dipertanggungjawab untuk kita. Mereka adalah pewaris dakwah dan batu bata untuk pembinaan ummah. Biarlah kita sibuk tetapi sebahagian dari kesibukan itu biarlah untuk kita mendidik mereka hingga satu hari nanti mereka akan menyambung kerja-kerja yang telah kita mulakan.

Saya pernah tanyakan pada anak saya. Soalannya bersahaja saja tetapi jawapannya menyebabkan saya menitiskan air mata. "Umar dah besar nanti nak kerja apa?" "Nak jadi macam abi" jawabnya spontan dan ringkas. Semoga Allah menjadikan kita sebagai pemikul risalah Islam dan anak-anak kita nanti sebagai pewarisnya.

No comments: