Monday, July 18, 2011

hati

Wahai Tuhan kami! Janganlah engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisiMu, sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberiannya.”
Begitulah lemahnya hati yang berada di dalam jasad manusia. Hati yang kecil yang menjadi penggerak pada setiap amal baik dan buruk yang kita lakukan setiap masa. Sebuku darah yang berfungsi mengawal segala perbuatan yang dilakukan oleh anggota. Antara sifat hati yang dijadikan oleh Allah ini ialah berbolak balik. Mungkin pada waktu ini kita ikhlas melakukan sesuatu, namun dalam tempoh seminit dua lagi kita sudah tidak tahu adakah hati ini masih iklhas atau sebaliknya.
Oleh kerana itu juga kita sering berdoa selepas solat “Ya Allah Ya Tuhan kami, tetapkan hati dalam ketaatan dan agamaMu.”
Allah Subhanu Wataala berkuasa ke atas setiap perkara mengikut kehendakNya dan kekuasaaNya yang mutlak. Allah memberikan hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya dan Allah memesongkan hati mereka kepada sesiapa yang dikehendakinya. Sebab itu kita perlu sering berdoa kepada Allah agar kita ditetapkan hati untuk terus berada di landasan sebagai mukmin yang taat kepadaNya.
Sebenarnya apa yang kita lakukan di dunia ini adalah kerana rahmat dan kasih sayang Allah. Bukan kerana amalan baik kita secara mutlak. Adakah anda mampu memberi jaminan bahawa amalan-amalan baik yang anda lakukan, meyakinkan Allah untuk memperkenankan segala permohonan kita? Tanpa rahmat dan kasih sayangNya nilai kehidupan kita hanyalah kosong. Bahkan masuknya kita syurga adalah juga atas rahmat ini.
Timbangan dan hitungan amalan kita hanyalah prosedur yang akan Allah lakukan untuk membuktikan ketaatan dan keengkaran kita kepadaNya. Prosedur ini adalah untuk menunjukkan kekuasaan Allah terhadap kita yang hanya hamba di sisiNya.

No comments: