Nasib telah mempermainkan dirinya. Dari isteri seorang menteri sampai  menjadi perempuan hina, tua, dan papa. Namun akhirnya bahagia bersama  sang pujaan..
Ketika nama Zulaikha muncul dalam episod kehidupan  Yusuf bin Ya’qub AS, dia berstatus sebagai isteri seorang menteri di  negeri Mesir. Dia memperoleh Yusuf dari seorang pedagang budak, Malik  bin Dha’ar Al-Khuzaiy. Dia tertarik membeli Yusuf kerana ketampanan  wajahnya yang memperlihatkan kecerdasan dan garis keturunan orang besar.
Malik  menemui Yusuf dalam sebuah wadi, telaga tua, di padang pasir, ketika  dia dan rombongannya dalam perjalanan dari Madyan ke Mesir. Ketika dia  menarik timba dari telaga itu, Yusuf terkait dan ikut terangkat ke atas.
Yusuf  berada dalam telaga itu akibat perbuatan 10 orang saudaranya yang  dengki dan iri hati kerana ayah mereka, Nabi Ya’qub lebih mengasihi  Yusuf. Dalam suatu mimpi yang dikisahkan kepada Ya’qub, Yusuf disembah  oleh sebelas bintang, matahari, dan bulan. Nabi Ya’qub yang mengetahui  takwil mimpi itu, meminta agar Yusuf merahsiakan mimpi tersebut kepada  orang lain, termasuk saudaranya. Ya’qub bimbang mereka iri hati.
Ternyata  dugaan Ya’kub benar. Entah dari mana sumbernya, mimpi itu diketahui  oleh anak-anaknya yang lain. Sejak itu, mereka berusaha menyingkirkan  adiknya itu dari muka bumi.
Yusuf tidak pernah mendedahkan  identitinya kepada sesiapa pun termasuklah kepada Zulaikha dan suaminya.  Di bawah jagaan mereka, Yusuf membesar menjadi remaja dan dewasa.  Wajahnya yang tampan itu telah menawan hati wanita-wanita Mesir yang  pernah melihatnya, termasuk Zulaikha, ibu angkatnya.
Dia bukan  hanya menyayangi Yusuf sebagai anak angkatnya, malah dia mencintainya.  Namun, cinta itu dipendam di dalam hati. Dia hanya dapat berangan-angan.  Akhirnya Zulaikha tidak mampu lagi menahan hasrat hatinya.
Pada  suatu hari, dia nekad mengurung Yusuf di dalam biliknya. Di situlah dia  menyatakan cinta dan dengan segala cara dia berusaha agar Yusuf jatuh ke  dalam pelukannya. Dengan pelbagai cara pula, Yusuf menangkis ajakan  berahi itu sehingga baju di bahagian belakangnya terkoyak akibat ditarik  oleh Zulaikha.
Didorong oleh nafsu berahi yang membuak-buak,  Zulaikha mengejar Yusuf hingga ke pintu. Kebetulan pula suaminya sedang  berdiri di balik pintu itu sehingga dia ternampak peristiwa tersebut.  Zulaikha berusaha membela dirinya dengan menyatakan Yusuf cuba untuk  memperkosa dirinya.
Seseorang dari keluarga Zulaikha, demikian  disebut dalam ayat 26-28 surah Yusuf, memberikan jalan penyelesaian,  “Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu,  dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang dusta. Dan jika bajunya koyak  dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah dari  orang-orang yang benar.” Tatkala melihat baju Yusuf koyak di belakang,  menteri itu pun membuat kesimpulan, Zulaikhalah yang bersalah. Tetapi  dia berlapang dada dan tidak mempersalahkan Zulaikha, apatah lagi Yusuf.
Bahkan  Yusuf diminta untuk merahsiakan kejadian tersebut. Keadaan itu  menyebabkan Zulaikha semakin merana. Dia malu kepada suaminya, tetapi  dia rindu kepada Yusuf. Perasaan malu itu kian hari kian bertambah  kerana peristiwa itu menjadi buah mulut masyarakat setempat. Demi  menjaga nama baik menteri yang telah mengambilnya sebagai anak angkat,  Yusuf rela dipenjarakan.
Di dalam penjara, Yusuf tidak berdiam  diri. Dia mendekatkan diri kepada Tuhan dan menyebarkan ajaran tauhid  serta keimanan yang dianut oleh nabi-nabi sebelumnya, Ibrahim, Ishaq,  dan Ya’qub keada teman-temannya di dalam penjara. Diantara temannya itu,  terdapat dua orang pelayan raja yang dipenjara atas tuduhan membunuh  raja dengan meletakkan racun ke dalam makanan raja. Kedua-duanya  merupakan pelayan bahagian makanan dan minuman raja.
“Aku  bermimpi memerah anggur untuk dijadikan khamar (minuman keras). Apakah  erti mimpiku itu?” Tanya salah seorang pelayan kepada Yusuf.
“Sebentar  lagi kamu akan dibebaskan, kerana tuduhan terhadapmu tidak terbukti,  dan kamu akan berkerja sebagai pelayan bahagian minuman juga,” jawab  Yusuf.
“Aku berminpi menjunjung roti di atas kepalaku dan roti itu dimakan burung,” kata pelayan yang lain. “Apakah erti mimpiku itu?”
“Kamu  bernasib buruk,” jawab Yusuf. “Tuduhan yang diajukan kepadamu terbukti  benar. Raja akan membunuhmu di tiang salib dan badanmu akan dimakan oleh  burung mulai dari kepala.”
Beberapa hari kemudian, takwil mimpi  yang diberikan Yusuf terbuti benar. Salah seorang pelayan itu dibebaskan  serta nama baik dan pekerjaannya dikembalikan, sedangkan seorang lagi  dihukum mati. Yusuf berpesan kepada pelayan yang dibebaskan itu agar  meminta raja menghitung kembali dirinya, kerana dia tidak bersalah.
Beberapa  tahun kemudian, raja bermimpi aneh. Tujuh ekor lembu kurus memakan  tujuh ekor lembu gemuk, dan tujuh tangkai gandum hijau berdamping dengan  tujuh tangkai gandum kering. Tukang ramal dan dukun-dukun ternama  seluruh negeri tidak mampu member takwil sehingga raja sangat kecewa.  Ketika itulah pelayan yang berteman dengan Yusuf di penjara teringat  kepada Yusuf dan memaklumkan kepada raja.
“Mesir akan mengalami  masa subur selama tujuh tahun dan masa kering selama tujuh tahun pula.”  Kata Yusuf kepada pelayan tadi yang diutus raja untuk membuka tabir  mimpi itu. Yusuf menyarankan agar hasil pertanian tujuh tahun pada masa  subur tidak dibazirkan untuk menghadapi musim kemarau selama tujuh tahun  akan datang.
Pelayan itu menyampaikan ramalan Yusuf dan tidak  lupa menyampaikan pesanan beliau agar kesnya dibuka kembali.  Rupa-rupanya, dahulu dia lupa menyampaikan pesanan itu kerana teramat  gembira apabila dibebaskan. Setelah diselidiki, ternyata Yusuf memang  tidak besalah. Dia dibebaskan dan dilantik menjadi menteri urusan  perbendaharaan dan kemakmuran.
Selama Yusuf di penjara, nasib  Zulaikha kian tersiksa. Suaminya meninggal. Sebagai janda, dia tidak  mampu mengendalikan harta peninggalan suaminya. Akhirnya, harta itu  habis. Seiring dengan bertambahnya usia, kecantikannya pun pudar.  Akhirnya dia hidup terumbang-ambing tanpa saudara, dan tanpa harta. Apa  yang lebih parah lagi, dia menderita penyakit yang sukar diubati, iaitu  rindu kepada Yusuf.
Dalam penderitaan hidup yang semakin tidak  tertahan itu, dia mendengar ajaran tauhid yang dibawa oleh pesuruh Allah  bernama Yusuf AS. Maka dia berusaha mengikuti ajaran itu, mendalaminya,  dan akhirnya melaksanakan dengan sebaik-baiknya. Dia menjadi muslimah  yang solehah sehingga doa-doanya didengari oleh malaikat yang  kemudiannya menyampaikan kepada Allah. Kerinduannya kepada Allah telah  mengalahkan kerinduannya kepada Yusuf, pujaan hatinya.
Suatu  hari, hati Zulaikha berdegup kencang. Dia mendengar khabar bahawa  Menteri Urusan Kemakmuran yang bernama Yusuf, sedang mengadakan lawatan  untuk melihat keadaan rakyat dari dekat. Hal itu menggugat hati Zulaikha  yang sudah tua. Dia ingin melihat, apakah Yusuf itu sama dengan Yusuf  yang dirinduinya selama ini.
Ketika rombongan menteri semakin  hamper dengan tempatnya berdiri, dia berteriak sekuat-kuat hatinya:  “Maha Suci Allah, yang menghinakan orang kerana dosanya dan meninggikan  orang kerana takwanya.”
Yusuf yang mendengar teriakan itu berasa  tersindir. Dia berasa seperti kenal dengan suara tersebut. Maka  dicarinya tuan punya suara itu. Dua pasang mata pun saling memandang.  Kedua-duanya saling ingat mengingati.
“Engkaukah Zulaikha, wanita bangsawan itu?” Yusuf bertanya.
“Banar, hamba Zulaikha,” jawabnya, dengan titisan air mata gembira.
Yusuf  pun melarang pengawalnya dari menghalau Zulaikha kerana penampilannya  yang lusuh dan berbau busuk. Mereka tahu bahawa wanita tua itu adalah  janda seorang menteri yang pernah menjadi bahan umpatan masyarakat  kerana perbuatan tidak senonohnya suatu ketika dahulu. Tetapi mereka  tidak tahu bahawa menteri yang diiringinya itu adalah mangsa perbuatan  Zulaikha. Mereka hanya kasihan melihat wanita itu sekarang.
“Semua  kekayaan hamba habis untuk mencari tuan.,” kata Zulaikha mengenai  dirinya selama itu. “Siang malam hamba sangat merindukan tuan”
“Lalu apa yang kamu perlukan sekarang?” kata Yusuf.
“Hamba perlukan hidup yang sesuai dan dekat dengan tuan,” jawab Zulaikha terus terang.
Tetapi  keterbukaan Zulaikha itu menimbulkan kecurigaan Yusuf, bahawa dirinya  sudah tidak waras lagi, sehingga Yusuf berusaha melakukan siasatan. Saat  itulah Malaikat Jibrail turun membawa wahyu Ilahi.
“Hai, Nabiullah, janganlah engkau memalingkan diri darinya, sesungguhnya Allah telah menjodohkan kamu berdua. Nikahilah dia.”
Yusuf  dengan naluri kemanusiaannya menolak perintah itu. “Hai Jibrail, dia  sudah tua, jauh dari keindahan dan keutamaan yang pernah dimilikinya.”
“Allah Maha Kuasa untuk mengembalikan kecantikannya,” jawab Jibrail lalu menghilang.
Ketika  itulah Zulaikha berubah sepenuhnya. Dia menjadi muda dan cantik.  Bersama-sama dengan itu, Tuhan juga menurunkan perasaan kasih sayang  yang amat mesra kepada Yusuf apabila melihat Zulaikha. Menyedari  perubahan yang begitu mendadak ke atas dirinya, Zulaikha juga  kehairanan.
“Masha Allah,” ucapnya.
“Mahasuci Allah, apa yang Dia kehendaki, terjadilah,” ucap Yusuf.
Tetapi,  masih ada satu perkara yang terbuku di hati Zulaikha. Mahukah Yusuf  menikahi seorang janda? Dengan perasaan yang belum yakin, ditatapnya  Yusuf dalam-dalam.
Yusuf dapat menangkap kerisauan Zulaikha. “Jangan hiraukan perasaan itu, aku telah diperintahkan oleh Tuhan untuk menikahimu.”
Kemudian,  dengan penuh hormat Zulaikha diiring ke suatu tempat yang disediakan  oleh Yusuf. Setelah melakukan persiapan sekadarnya, mereka berdua  bernikah pada hari Jumaat dalam upacara yang meriah
No comments:
Post a Comment