Tuesday, July 5, 2011

Kaedah mendekatkan jodoh

Mudah Menceritakan Hal Peribadi

Tunjukkan rasa kepercayaan kepada bakal pasangan dengan mudah bercerita tentang peribadi kerana kerana jika mudah kita bercerita hal peribadi kepadannya, semakin mudah juga dia akan bercerita hal peribadinya. Hal peribadi yang diceritakan perlulah munasabah dan tidak keterlelaluan.

Namun harus diingat bahawa berbual -bual dengan bakal pasangan tanpa tujuan dan tanpa mahram boleh menimbulkan fitnah dan boleh menjadi racun bagi hati. Suasana yang dimaksudkan mesti berlaku dalam suasana yan diizinkan syariat seperti ada mahram bersama, dalam suasana merisik perbualan itu berlaku dengan melibatkan ramai orang.

Melayani Bakal Pasangan dengan Mesra

Erti melayani disini perlu difahami dengan kaca mata agama. Melayan bakal pasangan tidak bermakna merelakan zina mata dan hati, apatah lagi zina besar. Melayani yang dimaksudkan adalah untuk menunjukkan penerimaan, penghargaan dan penghormatan kepada bakal pasangan seperti sudah lama berkawan

Perlu dingat, selagi belum terjalin ikatan yang sah disisi syariat, kita tidak dibenarkan keluar berdua – duaan, bersentuhan, berpengangan tangan dan berbual – bual tanpa keperluan. Semua itu merupakan racun bagi hati dan akan mengakibatkan cinta menjadi sesuatu yang pedih, jijik dan jauh dari rahmat Allah. Maka, cinta itu akan menjadi cinta yang berlandaskan nafsu semata – mata

Memberi Kasih Sayang untuk Menarik Kasih Sayang Orang Lain

Sebagai hamba Allah, kita hendaklah menjadikan sayang kepada Allah sebagai cinta yang paling utama. Cinta kepada Allah adalah cinta hakiki yang tidak boleh ditandingi keagungannya oleh sesiapapun dalam kalangan makhlukNya. Cinta akan Rasulullah pula cinta yang akan menyusul selepas cinta Allah.

Apabila ingin dicintai oleh manusia, pastikan ia cinta yang boleh menghampirkan diri kepada Allah. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : ” Kasihanilah apa yang ada di muka bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh mereka yang berada di langit.” (Riwayat Abu Daud)

Contohnya, seorang wanita sangat sayang kepada haiwan, seperti kucing. Dengan izin Allah, mungkin kucing itu boleh menjadi sebab pertemuannya dengan bakal pasangan tanpa disangka. Mungkin, merek dipertemukan kerana masing – masing cuba menyelamatkan seekor kucing dari dilanggar lori atau sebagainya. Yakinlah, orang yang mudah memberi sayang akan mudah mendapat sayang walaupun sekadar memberi kasih sayang kepada binatang!

Jangan Terlalu Jual Mahal

Seseorang wanita perlu berhikmah dalam mempamerkan dirinya sebagai mempunyai maruah dan kualiti. Dia tidak harus terlalu menyombongkan diri dengan lelaki sehingga menolak mentah – mentah apabila dilamar. jika dia tidak suka akan seseorang lelaki, maka berterus teranglah secara baik atau menyuruh lelaki berkenaan memasrahkan harapan kepada Allah s.w.t kerana apabila sudah jodoh tidak ke mana. Hakikatnya, Allah jualah yang menentukan titik pertemuan.

Wanita tidak harus terlalu mendambakan kasih sayang daripada seseorang lelaki lantaran hati sudah jatuh cinta. Dia perlu bertegas dan mempunyai pendirian, agar maruahnya tidak jatuh ke tangan lelaki. Lumrahnya, lelaki suka mengambil kesempatan terhadap wanitayang harga dirinya agak murah. Selain itu, hilanglah kualiti wanita itu dimata lelaki apabila dia terlalu “tergedik – gedik” minta dicintai!

.

Oleh : Dato’ Dr. Hj. Mohd. Fadzilah Kamsah

Dipetik dari : Majalah Solusi Isu 32

No comments: